Bismillahirrahmanirrahim.
Surat ini saya lakar selang beberapa hari lagi sebelum kita disatukan. Saya tulis ini bagi menggambarkan keterujaan saya pada penantian kita bersama. Tidaklah saya berharap lebih melainkan awak di sana membacanya dengan pengertian dan bahagia. Dan tidaklah saya mahu yang lebih melainkan senyuman dan kegembiraan awak menerimanya.
Wahai bakal suami,
Betapa saya ini bersyukur Tuhan sahaja yang tahu saya dipertemukan dengan awak. Perkenalan kita tidak lah lama, tetapi sangat cukup sebenarnya. Cukup untuk saya selalu berdebar bila menatap awak, untuk saya selalu tenang bila memikirkan awak, bahkan cukup untuk saya bahagia bila tahu yang awak sedang merindui dan menyayangi.
Wahai bakal suami,
Mengenali awak wahai bakal suami, buat saya kagum dengan besar sekali. Betapa awak itu kuatnya mengalahkan hero-hero dalam cerita. Awak berjuang selama ini seorang diri walau sesambilnya penuh dengan sepi dan sedih yang mengelilingi. Tangis awak, keluh awak disimpan rapi sekali kerana awak sukar sekali mencari mereka yang paling terpercaya untuk bercerita buat meredakan. Kadang awak kalah, kadang air mata mencurah tanda awak telahpun hilang harapan. Ujian terlalu membadai tetapi dengan kosong tempat pautan.
Tetapi wahai bakal suami,
Awak itu tegarnya luar biasa. Seupayanya awak menyimpan perasaan luka dalam-dalam, supaya yang tertampak pada mereka hanya senyuman dan kerja keras. Supaya mereka tidak bimbang, supaya mereka gembira dibantu dan diberi usaha semaksima. Biarlah sakit dan pendam hanya awak yang menanggung, awak mahu mereka percaya yang semuanya baik-baik sahaja. Dan untuk kesekian kalinya awak selalu dibantu Tuhan membuktikan kepada mereka semuanya baik-baik sahaja. Saya yakin sekali bahawa kedekatan awak kepada Tuhan menjadikan Dia itu belas sekali kepada awak, selalu sahaja mahu melindungi dan menyelamatkan awak.
Wahai bakal suami,
Dan mungkin tanda Tuhan mahu menyelamatkan awak juga, kita dipertemukan. Saya sedang berjanji baik-baik dengan diri sendiri yang bunyinya begini:
Saya mahu menjadi pengkahiran episod penantian dan permulaan episod kebahagian kisah awak. Dalam kesederhanaan, saya mahu sekali menjadi sebahagian awak yang benar-benar sebahagian. Kisah awak yang banyak sekali duri dan pedih, akan saya tanggal satu-satunya dendam dan pendam itu. Akan saya sediakan tempat rehat dan rawat untuk hati dan fikiran awak, akan saya cuba untuk memulihkan luka demi luka, parut demi parut yang ada pada perjalanan hidup awak pada sebelum dan selepas ini.
Seusai, mahunya saya menjadi tempat awak kembali. Bila awak menemui di luar sana pelbagai renyah dan kerenah, bahkan pada bila-bila masa pun di saat awak memerlukan tempat berteduh, tempat bebas menjadi diri awak sendiri, saya akan selalu menawarkannya. Mungkin tidaklah sempurna mana, tetapi tetap saya mahu menawarkan seadanya.
Wahai bakal suami,
Marilah kita sama-sama membetulkan tujuan kita menikah. Moga kosong dari salah tujuan, moga penuh dengan harapan mahukan keredaan Allah serta langit seisinya. Agar kita ini tiada perlu menginginkan lebih-lebih melainkan mahu lebih banyak beribadah dan mendekatkan diri kepadaNya selepas berlangsungnya ikatan mulia di antara kita.
Wahai bakal suami,
Seperti mana awak, saya juga punya kisah sebelum yang tersendiri. Berkali sudah saya suarakan saya ini tidak sempurna. Kurangnya banyak sekali. Tidakkah awak di sana merasa kecewa nanti bila mengetahui saya ini begini sebenarnya. Tak mungkinlah saya boleh menjadi yang terbaik antara perempuan-perempuan yang awak pernah kenal selama ini. Tak mungkinlah fizikal saya yang begini boleh menggembirakan awak. Tak mungkinlah sikap saya yang begini boleh mendidik anak-anak awak dengan sempurna kelak. Tidakkah nanti awak menyesal dan kecewa nantinya? Seperti yang awak sedia tahu, saya sering mempertikaikan ini.
Saya yang begini masih bertatih memperbaiki diri. Jika awak sanggup untuk menemani perjalanan panjang cobaan menjadi lebih baik saban hari ini, maka harusnya awak banyak bersabar dan menerima dengan benar-benar ikhlas. Harusnya pada awak itu banyak pengertian dan tenang. Malah perlunya selalu mengulang 'tenang sayang, semuanya akan baik-baik. Kita akan terus ampuh menghadapinya bersama'. Meski saya tahu, perututuran awak itu nanti akan jauh lebih tampan dan menyejukkan, saya mahu kita yang begini. Yang selalu ada untuk satu sama lain, saling berganding dan bermatlamatkan yang sama sentiasa.
Wahai bakal suami,
Jika berlaku apa-apa nanti kemudian hari, bacalah dibawah ini berkali-kali agar kita bisa membaiki keadaan mungkin tak semua sedikit pun tak mengapa.
Percayalah kita dipertemukan dan disatukan atas takdir Tuhan,
Kita akan selalu kuat dan menguatkan
Bahkan kita berjanji untuk bergandingan ke syurga
Maka, ujian apa sahaja harini
Hati kita jauh besar daripada ujian ini
Kerana kita inilah yang selalu percaya
Kita milik Tuhan dan kita akan kembali kepadaNya
Maka ujian apa sahaja harini
Nikmat dan kesenangan dipinjamkanNya selama ini jauh lebih banyak
Kita akan kuat dan mampu bersama ā”
Salam rindu,
Bakal isterimu Mukminah Aqilah
Ulasan
Catat Ulasan
kumen2